SUKAN > BERITA

JARINGAN TUNGGAL ALIF IKMALRIZAL CERIAKAN PENANG FC

13/04/2025 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Harapan Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk kembali ke landasan kemenangan dalam saingan Liga Super tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Penang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown, malam ini.

Penyerang Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar muncul wira tuan rumah apabila jaringan pada babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh. 

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Penang FC selepas menewaskan Negeri Sembilan FC, 2-0 pada 5 April lepas.

Biarpun perlawanan bermula agak seimbang, kealpaan pelawat yang gagal merantai pergerakan Alif Ikmalrizal memudahkannya untuk menyumbat masuk hantaran dari sebelah kiri pemain pertahanan Muhammad Adib Abdul Ra’Op pada minit ke-27.

Sebaik separuh masa kedua bersambung, KL City menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain tengah import Patrick Reichelt namun kegembiraan mereka tidak kekal lama apabila sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesannya berada dalam kedudukan offside.

Penang FC yang kerap menyerap asakan demi asakan KL City hampir menggandakan jaringan sebelum penjaga gol lawan Muhammad Azri Ab Ghani bertindak cemerlang menepis rembatan deras pemain gantian Neto Oliveira dari luar kotak penalti pada minit ke-81.

Minit-minit akhir perlawanan dilihat tegang dengan beberapa insiden kekasaran berlaku sehingga menyebabkan pemain import Adrijan Rudovic diarah keluar padang dengan mengutip kad kuning kedua apabila mengasari tonggak serangan Muhammad Akid Mohd Zamri pada masa kecederaan.

Kekalahan kedua berturut-turut dialami KL City selepas tunduk kepada Perak FC 1-2, 6 April lepas, tidak menjejaskan kedudukan keenam mereka dengan 28 mata manakala Penang berada di tangga ke-10 dengan 26 mata.

Dalam pada itu, pemain gantian Nasrullah Haniff Johan menebus kesilapan menjaringkan gol sendiri pada minit ke-77 apabila jaringannya pada masa kecederaan babak kedua menghadiahkan tiga mata penuh buat Negeri Sembilan FC yang mengatasi Kelantan Darul Naim (KDN) FC 2-1 di Stadium Sultan Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu.

Terdahulu, Negeri Sembilan berada di depan menerusi jaringan pemain import dari Jepun Takumi Sasaki pada minit ke-42 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan hasil gol sendiri Nasrullah.

Kemenangan keempat liga menyaksikan skuad Rusa berada di tangga ke-12 liga dengan 16 mata manakala KDN  kekal di kedudukan ke-13 dan tercorot liga menerusi tujuh mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan