Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 14 April (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Malaysia susulan pemergian Perdana Menteri kelima Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Isnin.
Wong menyifatkan Abdullah, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, sebagai seorang pemimpin yang dihormati dan membantu ASEAN berdiri megah di persada dunia.
"Saya amat sedih apabila menerima berita pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sepanjang enam tahun perkhidmatannya, Tun Abdullah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Wong berkata semasa tempoh pentadbiran Abdullah, Malaysia dan Singapura memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, seperti pembangunan Iskandar Malaysia, dan mencapai kemajuan ketara dalam isu-isu dua hala - sekali gus meletakkan asas yang kukuh kepada hubungan erat kedua-dua negara pada hari ini.
“Singapura berasa bertuah mengenali Tun Abdullah sebagai seorang sahabat," katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan, yang turut menzahirkan kesedihan, menyifatkan Abdullah sebagai pemimpin berwibawa yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan ASEAN.
Beliau berkata Abdullah dan Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Hsien Loong, telah mengadakan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia yang pertama di Langkawi pada 2007, yang kini menjadi platform tetap bagi pemimpin kedua-dua negara membincangkan isu-isu dua hala yang penting.
“Ucapan takziah saya kepada keluarganya dan rakyat Malaysia dalam saat dukacita ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Abdullah atau lebih dikenali sebagai "Pak Lah", menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 7.10 malam, Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial