DUNIA > BERITA

TIMBALAN MENTERI LUAR INDONESIA MULAKAN LAWATAN KERJA KE MALAYSIA

08/04/2025 05:42 PM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Luar Indonesia Arif Havas Oegroseno, memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia mulai hari ini, dengan dua hari di Sabah diikuti sehari di Kuala Lumpur.

Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan pada Selasa berkata lawatan ini merupakan peluang untuk meneroka kerjasama bagi kepentingan bersama serta mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelancongan.

Ia juga menjadi wadah untuk menangani cabaran bersama dan memperkukuh hubungan dua hala secara lebih strategik dan berpandangan jauh.

Semasa lawatan kerja di Sabah, Arif Havas dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah Datuk Yahya Sulaiman, menurut kenyataan itu.

Di Kuala Lumpur, beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala mencatatkan RM116.29 bilion (US$25.5 bilion), meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding RM111.21 bilion (US$24.39 bilion) pada 2023.

Indonesia adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar di kalangan negara anggota ASEAN, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan