KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Operasi pembersihan menerusi Ops Mega pascakebakaran saluran gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya diteruskan hari ini melibatkan tiga sektor utama iaitu A, B dan C.
Pemerhatian Bernama mendapati jentera pembersihan mula memasuki lokasi kejadian pada 9 pagi bagi melakukan kerja-kerja pembersihan yang membabitkan 12 zon dengan penyertaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO).
Sektor A dan B melibatkan kawasan Taman Putra Harmoni, manakala sektor C Kampung Kuala Sungai Baru, dengan setiap zon dikendalikan oleh PBT berbeza, selain sokongan daripada agensi persekutuan dan NGO.
PBT berkenaan terdiri daripada Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Klang, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat, dengan dibantu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Skop kerja tertumpu kepada pembersihan longkang, bahu jalan, lorong belakang dan kawasan parkir dalam rumah, selain membantu penduduk mengangkat barangan rosak, pemotongan pokok terbakar atau mati serta mencuci dinding rumah yang terkena percikan tanah.
Ops Mega pembersihan selama dua hari bermula semalam melibatkan lebih 4,000 sukarelawan daripada lebih 20 agensi kerajaan, swasta dan NGO.
Sebanyak 264 kenderaan dan jentera digunakan dalam operasi itu termasuk lori water jetter, lori tangki air, jentera pengorek kaut, penyapu jalan, mesin pencincang kayu dan kren pengangkat.
Setakat ini, 307 kediaman telah dibenarkan untuk diduduki semula dan dijangka lebih banyak rumah dapat diduduki dalam masa terdekat selepas proses pembersihan selesai.
Kebakaran saluran gas kira-kira 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial