Oleh Norsyafawati Ab Wahab
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) akan terus menjadi strategi pembangunan penting bagi memastikan kemampanan dan membawa pembangunan yang aman di rantau China-ASEAN untuk manfaat bersama.
Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata projek BRI yang dilaksanakan di ASEAN telah menunjukkan hasil yang membanggakan, selain memupuk pertumbuhan ekonomi, kemakmuran, integrasi dan kesalinghubungan serta persefahaman bersama.
“Menerusi Laluan Sutera Maritim baharu yang dikenali sebagai BRI, China telah membuat pelaburan besar dalam infrastruktur rantau ini, termasuk pelabuhan, landasan kereta api dan taman perindustrian, memupuk pertumbuhan ekonomi dan kesalinghubungan serantau,” katanya.
Beliau menambah bahawa inisiatif BRI telah menawarkan peluang luas kepada ASEAN dan memberikan beberapa hasil yang ketara, termasuk projek kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung di Indonesia dan Kereta Api China-Laos.
“Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Malaysia kini hampir 80 peratus siap. Dengan unjuran operasinya pada 2027, ia akan menjadi pencetus perubahan dalam mengintegrasikan negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan Pelabuhan Klang,” katanya pada sesi pleno bersempena Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China di sini hari ini.
Abdul Majid, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke China turut menyatakan bahawa kerjasama BRI telah membawa peningkatan dalam pertukaran budaya, pelancongan serta interaksi rakyat antara ASEAN dan China.
Beliau mengakui bahawa BRI akan melaksanakan projek yang memberi impak positif secara langsung kepada rakyat pada tahun-tahun mendatang, termasuk pembasmian kemiskinan, latihan pembangunan sumber manusia dan kemahiran, pendigitalan dan kesihatan awam.
Sementara itu, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata tahun ini China menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi sekitar lima peratus, berdasarkan keyakinan kukuh terhadap laluan pembangunan berkualiti tinggi negara itu.
Sehubungan itu, beliau berkata China akan terus berkongsi peluang pembangunan dengan negara di seluruh dunia, termasuk negara ASEAN.
Beliau berkata China akan bekerjasama membentuk komuniti dengan masa depan bersama demi kemanusiaan dan mencipta masa depan lebih cerah untuk dunia.
“Pada masa ini, landskap antarabangsa ditandai dengan perubahan dan pergolakan yang saling berkaitan, dengan peningkatan ketidakstabilan dan ketidakpastian.
“Namun, kami tetap percaya bahawa keamanan dan pembangunan adalah trend dominan masa kini manakala kerjasama menang-menang merupakan pilihan yang tepat,” katanya.
Forum sehari itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pagi tadi.Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial