SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, Klang yang bercita-cita menjadi seorang pendidik menerima anugerah peminjam buku terbanyak di Selangor selepas meminjam 1,378 naskah sepanjang tahun lepas.
Anak penghantar makanan Alif Zachary Mohd Arif, 13, berkata minat terhadap buku mendorongnya menjadikan Perpustakaan Awam Selangor Sungai Udang, Klang sebagai ‘rumah kedua’ sejak tujuh tahun lepas.
“Jarak perpustakaan dengan rumah kira-kira 30 meter. Sejak berusia enam tahun, saya sudah berjinak-jinak dengan pelbagai jenis genre bahan bacaan dan sehingga kini saya masih berulang-alik ke situ bagi menghabiskan masa terluang membaca serta mendapatkan buku-buku yang diminati.
“Biasanya lepas pulang dari sekolah saya akan berehat seketika sebelum membaca. Waktu malam pula saya akan sambung membaca selepas menyiapkan tugasan sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 di Pustaka Tun Raja Uda di sini hari ini.
Acara yang berlangsung selama lima hari bermula 18 April itu menyaksikan Alif Zachary berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 selepas menerima anugerah bagi kategori kanak-kanak.
Alif Zachary berkata minat terhadap bahan bacaan ilmiah mendorongnya memasang impian untuk menjadi guru subjek Sains pada masa akan datang.
“Saya mendapat kepuasan apabila dapat membaca sambil menyentuh buku secara fizikal. Ia mudah meresap ke dalam minda dan diterjemahkan semula kepada orang di sekeliling saya.
“Saya anak tunggal, jadi saya banyak habiskan masa dengan buku berbanding melakukan aktiviti lain termasuk meluangkan masa bersama rakan-rakan sebaya di kawasan rumah saya,” katanya.
Sementara itu, Nik Hasrol Hafiz Hashim, 39, dianugerahkan penerima bagi kategori dewasa dengan jumlah pinjaman 674 bahan bacaan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.
Pengurus peruncitan di sebuah syarikat swasta itu berkata beliau dan isterinya menjadikan budaya membaca sebagai satu kemestian dalam keluarga, terutama buat dua orang anaknya.
“Selain minat membaca, saya mahu anak-anak saya juga terdedah dengan minat sama meskipun masing-masing baru berusia lima dan dua tahun enam bulan.
“Saya kurang galakkan mereka untuk menghabiskan masa dengan gajet, tambahan pula tiada televisyen di rumah saya. Jadi dari 674 naskah buku, ada juga buku untuk mereka berdua,” katanya.
Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit adalah program tahunan anjuran Kerajaan Selangor di bawah kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), yang kini penganjurannya masuk kali ke-12 dengan tujuan meningkatkan tabiat serta budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial