AM > BERITA

Program Santuni MADANI Bernama Pupuk Minat Membaca, Perkukuh Sahsiah Murid SK Batu Laut

23/04/2025 04:14 PM

SEPANG, 23 April (Bernama) -- Program Santuni MADANI Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang memfokuskan kepada pendidikan dilihat dapat memupuk minat membaca serta memperkukuh pembangunan sahsiah dalam kalangan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Laut, Tanjung Sepat di sini.

Guru Besar SK Batu Laut Fadhlah Afif Talib berkata aktiviti-aktiviti yang dirangka menerusi program itu seperti acara Jom Baca Bersama 10 Minit dan Bengkel Biblioterapi diyakini memberi impak positif kepada semua murid yang terlibat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Bernama kerana menganjurkan program ini. Kita dapat lihat para pelajar seronok dengan program yang dianjurkan. Saya akan menggalakkan guru-guru untuk menerapkan teknik biblioterapi dalam sesi pembelajaran pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian program itu di sini hari ini.

Turut hadir dalam program yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus itu ialah Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama merangkap Timbalan Ketua Program 2 Santuni MADANI Satu Pemimpin Satu Kampung Sharifah Zaini Syed Zain serta Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sangadi.

Program sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia itu dimulakan dengan acara Jom Baca Bersama 10 Minit, diikuti pelaksanaan Bengkel Biblioterapi Siri 1 dan Sesi Bimbingan AKRAB Bernama, selaras dengan pendekatan holistik untuk membina budaya membaca, keyakinan diri serta kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar.

Sebelum ini Bernama telah memilih Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung. 

Sementara itu pelajar Tahun Enam Putera Amirul Ammar Darwish berkata aktiviti yang dianjurkan hari ini amat menyeronokkan dan berharap ia dapat diadakan lagi pada masa depan.

“Program ini amat menyeronokkan. Saya teruja menyambut kedatangan Bernama pada hari ini kerana saya memang suka membaca. Saya harap program ini boleh dibuat lagi sekali,” kata anak kelima dari enam beradik itu.

Rakannya Nur Shakira Nadhirah pula berazam untuk menjadikan membaca sebagai amalan hariannya dan keluarga.

“Program hari ini best, excited sangat untuk menunggu program hari ini. (Saya) akan meneruskan aktiviti membaca buku, dan akan mengajak ahli keluarga yang lain untuk sama-sama membaca,” katanya yang bercita-cita menjadi pegawai tentera itu.

Pelaksanaan Program Santuni MADANI di Kampung Batu Laut sebelum ini turut merangkumi Bengkel Canva, Taklimat Ancaman Siber serta Program CSR (tanggungjawab sosial korporat) Ramadan, yang menampilkan pendekatan berfasa dan menyeluruh, dirancang bagi memaksimumkan impak jangka panjang.

Program akan diteruskan hingga Oktober 2025, melibatkan penyertaan pelajar, guru dan komuniti setempat termasuk sekolah menengah dan pusat komuniti kampung, dengan laporan impak akan dibentangkan pada penghujung siri kelima.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan