AM > BERITA

Anugerah Melaka Membaca Diperkenal Tahun Ini

23/04/2025 02:32 PM

MELAKA, 23 April (Bernama) -- Kerajaan negeri memperkenalkan Anugerah Melaka Membaca pada tahun ini dalam usaha menyemai budaya ilmu melalui pembacaan di bawah inisiatif pembudayaan masyarakat berilmu dan bermotivasi.

Pengerusi Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) Datuk Rosli Abdullah berkata anugerah itu memberi fokus untuk meningkatkan jumlah pembaca dann pembacaan serta sasaran pembaca yang lebih inklusif.

"Anugerah Melaka Membaca ini juga sebagai nilai tambah bagi menyokong Dekad Membaca Kebangsaan yang bertujuan mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara membaca dan bangsa berilmu bertaraf dunia menjelang 2030.

"Melalui anugerah itu, kerajaan negeri akan memberi pengiktirafan kepada Ikon Pembaca Melaka yang bertujuan memberi motivasi dalam menjadikan pembacaan atau celik maklumat sebagai satu budaya yang boleh meningkatkan kualiti hidup masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Anugerah Melaka Membaca sempena Program Jom Baca Bersama 10 Minit peringkat negeri, disempurnakan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Bukit Baru di sini hari ini.

Rosli berkata Ikon Pembaca Melaka dibahagikan kepada kategori kanak-kanak, belia, dewasa, penjawat awam dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mempromosi amalan membaca sebagai satu gaya hidup dalam menjadikan masyarakat berpengetahuan. 

Selain ikon pembaca, anugerah itu juga akan mengiktiraf pembaca terbaik kepada individu yang menjadikan membaca sebagai satu gaya hidup selain turut menggunakan perkhidmatan perpustakaan awam di seluruh Melaka.

"Antara pengiktirafan lain yang diberikan pada anugerah itu ialah gerbang maklumat ilmu terbaik (perpustakaan terbaik) bagi kategori rumah, pejabat kerajaan, swasta, rumah ibadat, sekolah dan institusi pengajian tinggi.

"Perpustam juga mencipta satu slogan bagi menyokong kempen galak membaca ini iaitu ‘Makin Pedas, Makin Membaca’ kerana sinonim dengan Melaka yang terkenal keenakan asam pedas …," katanya.

Kempen Anugerah Melaka Membaca itu bermula April hingga 31 Julai, johan setiap kategori bakal membawa pulang wang tunai RM3,000, naib johan (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000) berserta sijil dan piala iringan.

Dalam pada itu, sebanyak 1.9 juta pembaca direkodkan menerusi data terkumpul Program Jom Baca bermula 2014 hingga tahun lepas di Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan