DUNIA > BERITA

MALAYSIA DIPILIH SEMULA KE MAJLIS PENTADBIRAN CSAM DAN SIAP DI BAWAH UNESCAP

24/04/2025 12:17 AM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Malaysia telah dipilih semula ke dua Majlis Pentadbiran di bawah Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP), iaitu Pusat Penjenteraan Pertanian Mampan (CSAM) dan Institut Statistik bagi Asia dan Pasifik (SIAP).

Menurut kenyataan Kementerian Luar, pemilihan itu dibuat semasa Sesi ke-81 UNESCAP di Bangkok pada Selasa.

Malaysia merupakan antara lapan negara yang dipilih sebagai ahli majlis bagi kedua-dua badan berkenaan

“Malaysia terus komited menyokong usaha CSAM dan SIAP serta akan terus menyertai secara aktif dan menyumbang ke arah memperkukuh peranan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Malaysia, yang diwakili Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dipilih semula ke Majlis Tertinggi CSAM bagi penggal 2025-2028.

“CSAM memainkan peranan penting dalam mempromosikan kerjasama teknikal dalam kalangan negara anggota dan anggota bersekutu UNESCAP. Ia turut memudah cara pertukaran ilmu, kerjasama penyelidikan dan pembangunan perniagaan berasaskan pertanian  dalam bidang penjenteraan pertanian mampan,” kata kenyataan itu.

Malaysia telah berkhidmat dalam Majlis Pentadbiran CSAM selama dua penggal berturut-turut, dari 2018-2022 dan 2022-2025.

Bagi SIAP, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Malaysia, yang diwakili Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), turut dipilih semula untuk penggal 2025-2027.

SIAP berperanan memperkukuh keupayaan statistik negara-negara di rantau Asia Pasifik bagi menyokong pengumpulan, penyebaran dan analisis data untuk pembangunan ekonomi dan sosial.

Malaysia pernah menganggotai Majlis Pentadbiran SIAP bagi penggal 2010-2012 dan 2022-2024 serta merupakan anggota pengasas institut itu sejak penubuhannya pada 1970.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan