PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Sistem pemancar di Menara Kuala Lumpur (Menara KL) kekal berfungsi dengan baik walaupun kerja-kerja penyelenggaraan serta penyelesaian isu berkaitan keselamatan sedang dijalankan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI memaklumkan perkara tersebut sentiasa di bawah pemantauan Kementerian Komunikasi dan berharap kerja-kerja berkenaan dapat diselesaikan seberapa segera bagi membolehkan Menara KL dibuka semula kepada pengunjung.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap aspek keselamatan yang sentiasa menjadi keutamaan demi keselesaan pengunjung.
“Kita tahu ia adalah struktur...sasaran penting, kawasan larangan, tempat larangan yang mengandungi menara pemancar.. aspek ini terus berfungsi dengan baik, tidak ada apa-apa masalah.
“Sementara bagi orang awam, kita harap beberapa perkara yang dimaklumkan sebelum ini untuk ditambah baik dan diselenggara untuk memastikan keselesaan dan keselamatan bagi pengunjung dapat diatasi segera. Tapi kita harap dalam tempoh terdekat ia akan dibuka semula,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Pada 17 April, Fahmi berkata Menara KL yang ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan serta menyelesaikan isu berkaitan keselamatan akan dibuka semula secepat mungkin, selepas dua aspek utama itu diselesaikan oleh pemegang konsesi baharu LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL diambil alih oleh syarikat LSHSM.
Menurut kenyataan itu, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB menerusi surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial