AM > BERITA

Kelantan Cadang Pasang CCTV Biometrik Di Sempadan, Perkasa Kawalan Rentas Negara

23/04/2025 05:23 PM

KOTA BHARU, 23 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memasang kamera litar tertutup (CCTV) biometrik di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di Sungai Golok bagi memudahkan polis mengesan kegiatan pengedaran dadah. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata cadangan itu hasil perbincangan kerajaan negeri bersama polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan berhubung keperluan memperkasakan sempadan.

Beliau berkata penambahan dron biometrik juga perlu dilakukan bagi mengesan pergerakan di sempadan selain memasang alat pengimbas atau pengesan di pintu masuk utama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

"Ini kerana selepas laluan haram sepanjang Rantau Panjang-Sungai Golok ditutup, semua pergerakan adalah melalui pintu masuk utama dan jika tiada alat pengimbas kegiatan jenayah tidak dapat dikesan," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Zamakhshari berkata usaha menyeluruh dan bersungguh juga perlu dilakukan bagi menyekat penjualan dadah secara dalam talian, termasuk rokok elektronik atau vape jenis magic mushrooms.

"Walaupun jumlah penagih di Kelantan itu masih berada di bawah peratusan nasional (47.45 peratus) namun kerajaan negeri tetap memandang serius isu berkenaan dan usaha mengekang penularan dadah di negeri ini perlu terus diperkasakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan