TAPAH, 22 April (Bernama) -- Keadaan keselamatan dan perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berjalan sangat baik setakat ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kelancaran kempen itu, hasil perancangan baik serta langkah-langkah teliti yang diambil pihak polis dalam menjaga keamanan serta keselamatan sepanjang kempen itu berlangsung.
Beliau berkata hanya tujuh laporan polis diterima setakat ini yang boleh dianggap sebagai rendah dan berharap pematuhan terhadap semua peraturan akan berterusan sehingga hari terakhir kempen.
"Kita menggesa semua pihak terlibat untuk kekal dengan situasi sekarang bagi memastikan keadaan yang kondusif bagi setiap pemilih menunaikan tanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Batang Padang di sini hari ini.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata calon dan parti bertanding dinasihatkan supaya tidak menanam kebencian menerusi pentas politik ketika berkempen hanya kerana berbeza pendapat.
Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan polis menerima tujuh laporan sepanjang tempoh kempen PRK DUN Ayer Kuning dengan lima laporan diklasifikasikan sebagai ‘No Offence Disclosed’ (NOD) manakala dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial