AM > BERITA

Ewon Wakil Malaysia Tanda Tangan Buku Takziah Paus Francis Di Kedutaan Vatican - Fahmi

23/04/2025 06:43 PM

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick akan mewakili Kerajaan Malaysia, bagi menandatangani buku ucapan takziah atas kematian Ketua Gereja Roman Katolik Paus Francis di Kedutaan Vatican, di sini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan juga akan menghantar seorang menteri bagi mewakili Malaysia, menghadiri majlis pengebumian Francis yang akan diadakan pada Sabtu ini di Basilika Santa Maria Maggiore di Rom.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

“Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan takziah atas pemergian Paus Francis yang telah meninggal dunia.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyatakan mendiang Paus Francis merupakan seorang yang lantang bersuara terutama tentang isu Gaza, oleh itu Perdana Menteri sendiri amat menyanjungi jasa dan bakti mendiang Paus Francis,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Paus Francis, yang merupakan paus pertama dari Amerika Latin, meninggal dunia pada Isnin dalam usia 88 tahun.

Beliau sebelum ini mengalami masalah kesihatan berpanjangan termasuk kesukaran bernafas menyerupai asma, yang dikaitkan dengan trombositopenia (kekurangan platelet darah).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan