AM > BERITA

Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Petang Di Istana Negara

23/04/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Petang bersama ahli jemaah menteri wanita, ketua perwakilan asing wanita dan isteri ketua perwakilan asing di Istana Negara di sini.

Turut berangkat pada majlis yang diadakan di Dewan Santapan Utama Istana Negara itu ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan anakanda Raja Permaisuri Agong Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut dilihat menghadiri majlis itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Seramai 45 isteri perwakilan asing antaranya dari negara Jerman, Yaman, Oman, Croatia dan Indonesia merupakan antara 350 tetamu yang hadir.

Turut diundang ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep).

Tetamu dipersembahkan dengan tarian kebudayaan masyarakat Johor antaranya tarian Zapin Siti Nurbayah, Zapin Tenglu dan Zapin Gemersik Ombak daripada artis budaya Yayasan Warisan Johor selain tarian masyarakat Cina, tarian masyarakat India dan tarian Busana Johor.

Sebelum berangkat pulang Raja Zarith Sofiah juga berkenan beramah mesra dan bergambar bersama tetamu.

Majlis Santapan Petang Raja Permaisuri Agong bersama ahli jemaah Menteri Wanita dan ketua perwakilan asing wanita julung kali diadakan sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan