ALOR SETAR, 23 April (Bernama) -- Kerajaan Kedah sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan syarikat sendiri bagi mengendalikan perkhidmatan feri ke Langkawi bagi menampung keperluan yang semakin meningkat ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah Dzowahir Ab Ghani berkata kajian teliti perlu dilakukan agar syarikat berkenaan dapat beroperasi secara mampan dan tidak menjadi beban kewangan kepada kerajaan negeri.
“Penubuhan syarikat feri milik kerajaan negeri memerlukan kajian teliti dari sudut kos operasi, daya saing komersial, urusan dan sokongan teknikal.
“Insya-Allah sekiranya kajian ini memberi gambaran yang positif ia dapat membantu, khususnya penduduk Langkawi dalam hal feri tidak mencukupi,” katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Kerajaan negeri juga mengintai peluang kerjasama dengan pihak swasta atau mana-mana pihak yang berminat untuk menubuhkan syarikat feri.
Beliau berkata hal itu bagi membantu orang ramai, khususnya penduduk Langkawi yang sering berulang-alik ke tanah besar untuk urusan harian.
“Dulu kalau kita boleh ingat, kita boleh pergi Langkawi balik hari, kalau pergi pagi, petang kita boleh balik atau boleh ambil feri malam. Sekarang sudah tiada. Kalau pergi Langkawi kena tidur satu malam.
“Lebih-lebih lagi kesian kepada penduduk Langkawi kalau perlu datang ke Alor Setar, jika demam sakit atau melawat adik-beradik kena tidur satu malam di Alor Setar dan balik Langkawi esok. Jadi inilah antara rungutan penduduk Langkawi, khasnya tentang jadual feri pada masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dzowahir berkata kerajaan negeri juga ada berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berkenaan cadangan supaya Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah dibina jauh dari kawasan persisir bagi mengelakkan masalah paras air cetek.
“Kalau pindah di tengah laut (jauh dari persisir pantai) selesai masalah yang dihadapi sekarang ini. Jika dibuat di tengah laut tiada isu air pasang surut. Yang kedua lokasi sekarang semakin sibuk dengan bot nelayan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial