KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Pengumuman Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang bersetuju menyalurkan dana RM200 juta menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyelesaikan masalah capaian Internet di institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), amat membantu memastikan institusi pendidikan agensi itu berada pada tahap terbaik.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kebanyakan daripada 344 institusi pendidikan di bawah agensi itu memfokus kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memerlukan capaian Internet serta digital.
"Ia termasuk memastikan segala fasiliti dan infrastruktur komunikasi dilaksanakan, seperti masalah liputan di Kolej Profesional MARA Ayer Molek, Melaka sebelum ini yang telah menjadi projek perintis.
"Sokongan Kementerian Komunikasi khususnya MCMC banyak membantu ekosistem pendidikan MARA menjadikan lebih kondusif untuk pelajaran.
"Kita ada 175,000 pelajar di institut pendidikan MARA dan capaian Internet seperti ini amat diperlukan," katanya pada sidang media Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) 2025 di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata MARA akan segera menghantar senarai institusi yang memerlukan capaian Internet untuk diselesaikan pada tahun ini.
Mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang meminta beliau mengambil tindakan membuang pelajar yang menyalahgunakan kemudahan Intenet berkelajuan tinggi berkaitan elemen seksual, beliau berkata pihaknya mengambil serius segala perlakuan di bawah kategori jenayah.
"Perlakuan seperti (berkaitan elemen) seksual melalui media sosial atau media komunikasi adalah suatu yang tidak boleh diremehkan.
"Sudah tentu kalau ada kes seperti ini, kita akan terima segala pandangan daripada Timbalan Perdana Menteri, tanggungjawab MARA untuk ambil tindakan tegas hingga peringkat tamatkan pengajian, kita tidak akan kompromi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial