KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersetuju menyediakan dana RM200 juta bagi menyelesaikan masalah capaian Internet di institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata menyelesaikan masalah capaian Internet di institusi pendidikan termasuk di bawah MARA adalah satu daripada usaha kementerian itu melalui Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
"Maka memahami, menyedari dan menginsafi keperluan pelajar, saya minta ditambah lagi RM50 juta (kepada dana RM150 juta sedia ada) menjadikan keseluruhan RM200 juta untuk selesaikan segera masalah Internet di kampus-kampus (MARA)," katanya ketika berucap pada Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Fahmi berkata beliau berharap kemudahan Internet berkelajuan tinggi laju dan murah, dapat digunakan dengan selamat oleh para pelajar di institusi pendidikan MARA dan tidak disalahgunakan.
"Nanti saya minta bantuan menyediakan Internet tetapi saya harap rakan-rakan dalam MARA bersama dalam Kempen Internet Selamat, memastikan semua pelajar termasuk di UPTM memahami pentingnya kita menggunakan Internet selamat, tidak menjadi mangsa penipuan, tidak mengamalkan buli siber dan mengelak daripada melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya.
Sementara itu, Fahmi turut menyatakan kebimbangan terhadap jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan yang menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun seperti dilaporkan media semalam dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan atas dasar suka sama suka.
"Pada saya ia satu keadaan yang amat mencemaskan, tiga bulan pertama tahun ini kejadian rogol suka sama suka dalam kalangan anak-anak kecil bawah 12 tahun meningkat 15.6 peratus," katanya.
Fahmi berkata kes menghasilkan kandungan lucah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) di media sosial yang dilaporkan di Kulai, Johor semalam turut menjadi kebimbangan.
"Saya berasa serba salah. Kita berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah Internet, memastikan Internet yang laju dan murah tetapi kalau disalahgunakan untuk aktiviti jenayah, untuk menyebar fitnah seperti kononnya ada sekumpulan pelajar menyanyi lagu Kebangsaan dalam bahasa Cina, itu fitnah.
"Video yang viral itu adalah lagu kebesaran negeri Perak tetapi itulah fitnah yang mengundang murka Istana Perak," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial