TAPAH, 10 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memberi peringatan kepada orang ramai terutamanya pempengaruh supaya tidak melakukan hantaran bersifat jelik, melampau, fitnah dan berita palsu yang boleh dikenakan tindakan.
Peringatan berkenaan diberikan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.
“Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa 11 Feb lepas membolehkan pelaku didenda hingga RM500,000 jika sabit kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) dan Sembang Santai YB Menteri Komunikasi Bersama Komuniti MADANI DUN Ayer Kuning di sini hari ini.
Beliau mengambil contoh tindakan seorang pempengaruh yang menularkan video mendakwa lagu kebangsaan Negaraku telah dinyanyikan dalam bahasa selain bahasa Kebangsaan oleh murid sebuah sekolah di Perak.
“Pihak polis dan juga MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah melakukan siasatan. Saya dimaklumkan pempengaruh itu telah ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis. Jadi saya nak sampaikan peringatan ini,” katanya.
Turut hadir Ketua Pengarah Penerangan Julina Johan.
Terdahulu, media melaporkan polis Perak telah menahan pempengaruh politik berhubung dakwaan pelajar sebuah sekolah di Perak telah menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Cina.
Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai menyemak dahulu maklumat yang diperoleh dengan media arus perdana dan tidak terus berkongsi semua maklumat diterima termasuk melalui aplikasi WhatsApp.
“Jangan menjadi penyambung fitnah kepada perkara-perkara yang belum pasti ataupun tidak tentu, tidak ada kepastian sila berhati-hati,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial