AM > BERITA

Tiada Peluang Kedua Buat Pembuli - Asyraf Wajdi

10/04/2025 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Tiada peluang kedua atau rayuan akan diterima bagi salah laku buli di mana-mana institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu telah ditegaskan beliau sejak dua tahun lepas lagi dan pelbagai pendekatan preventif dilakukan, termasuk kursus khas dengan kaunselor dan perjumpaan berkala dengan pengetua bagi mencegah kejadian buli daripada berlaku.

"Tidak ada ruang untuk kita bagi toleransi dalam hal ini, kita kena menamatkan semua pengajian (pelajar terlibat kes buli).

“Saya tidak mahu melayani rayuan sebab ini bukannya kita kena tunggu bagi amaran pertama, amaran kedua, saya dah beritahu ini dari dua tahun lepas lagi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, polis mengesahkan video tular berdurasi 1 minit 31 saat memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lepas.

Asyraf Wajdi turut mengesahkan MARA mula menerima lebih banyak aduan berkaitan kes buli di MRSM, selepas video berkenaan tular dan mahu kes seumpama itu terus dilaporkan orang ramai sama ada kepada pihaknya mahupun menerusi media sosial.

“Kita tidak boleh mewajarkan, menormalisasikan atau membenarkan sebarang perilaku buli dalam apa jua bentuk fizikal mahupun mental kerana ini akan memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada pembelajaran," katanya.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan