TAIPING, 12 April (Bernama) -- Sebanyak 330 penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Kementerian Pendidikan (KPM) menyertai Program Rides Ziarah KPM Bikerz MADANI di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata program berkenaan merupakan program komuniti tahunan yang diadakan bagi menyemarakkan Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu dan Sambutan Hari Guru.
“Matlamat program KPM Bikers MADANI yang berbentuk komuniti ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penunggang warga KPM dari seluruh negara, di samping menyantuni warga guru serta pesara di sekitar kawasan yang diziarahi.
“Program Rides Ziarah KPM Bikerz MADANI pada petang ini akan menyantuni enam rumah pesara guru yang keuzuran serta menyampaikan sumbangan sebagai tanda penghargaan jasa pesara guru serta kebajikan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Flag Off Ziarah MADANI di Kolej Vokasional Taiping.
Selain itu, beliau berkata lawatan ke tujuh sekolah di sekitar Taiping bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) diadakan pagi tadi bagi memberi motivasi dan juga penjelasan berkaitan konsep gagasan Malaysia MADANI untuk dihayati oleh guru serta murid.
Sementara itu, Presiden KPM Bikerz Ismail Othman berkata program menziarahi pesara dan guru KPM yang mempunyai penyakit dan keuzuran itu bertujuan memberikan semangat kepada mereka.
Beliau berkata antara sekolah yang dilawati dalam program berkenaan ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Addiniah, Changkat Jering; Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai, Batu Kurau; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian dan SABK Maahad Al-Tarbiah Al-Islamiah, Changkat Jering.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial