AM > BERITA

PRK Ayer Kuning: Capaian Telekomunikasi, Akses Internet Akan Dipastikan Terbaik - Fahmi

10/04/2025 08:33 PM

TAPAH, 10 April (Bernama) -- Capaian telekomunikasi dan akses Internet akan dipastikan pada tahap terbaik sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning supaya tidak mengganggu perjalanan PRK itu terutama ketika hari penamaan calon dan pengundian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengadakan pertemuan dengan syarikat telekomunikasi (Telco) esok bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil bagi kawasan yang mengalami capaian Internet kurang memuaskan.

“MCMC telah menyampaikan maklumat ada beberapa talian Telco yang mungkin mutu perkhidmatannya kurang memuaskan dan mereka telah berhubung dengan syarikat-syarikat Telco ini untuk mendapatkan maklum balas.

“Esok, pegawai MCMC akan mempengerusikan satu mesyuarat bersama untuk mengesahkan tindakan susulan yang perlu diambil syarikat-syarikat ini,” katanya ketika menghadiri Program Mini Akademi Asas Penerangan dan Sembang Santai Menteri Komunikasi Bersama Komuniti MADANI DUN Ayer Kuning di sini hari ini.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 25 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK itu Sabtu ini, manakala pengundian pada 26 April dan pengundian awal 22 April.

Fahmi berkata kerajaan komited terhadap usaha berterusan bagi meningkatkan mutu capaian telekomunikasi dan akses Internet di seluruh negara, dan MCMC telah diminta untuk turut meneliti data daripada beberapa pihak seperti OOKLA bagi mengenal pasti lokaliti yang memerlukan penambahbaikan, selain hanya bergantung kepada aduan orang ramai.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan