AM

TEKUN BAKAL PERKENAL SKIM PEMBIAYAAN UNTUK MODAL PERNIAGAAN LULUSAN TVET

19/05/2025 05:52 PM

TUARAN, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional bakal melancarkan skim pembiayaan mikro khas untuk lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri berkaitan Datuk Ewon Benedick dalam kenyataan berkata skim pembiayaan itu memberikan peluang kepada graduan TVET daripada pelbagai institusi pendidikan untuk mendapatkan modal perniagaan khususnya bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan kemahiran.

Beliau berkata bajet permulaan sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan untuk program itu dan jumlah tersebut boleh ditambah berdasarkan keperluan dan sambutan.

"Skim pembiayaan usahawan TVET ini akan dilancarkan sempena Hari TVET Negara di Melaka pada Jun ini. Mudah-mudahan dengan skim ini, ia membuka peluang yang lebih luas kepada para graduan TVET untuk mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan sekiranya mereka memilih sektor keusahawanan.

"Ini merupakan antara usaha kementerian menyokong agenda besar negara untuk membangunkan bukan sahaja graduan tetapi juga kerjaya dan keusahawanan dalam bidang TVET," katanya. 

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Kemahiran Kerjaya dalam Industri Minyak dan Gas, di sini hari ini.

Ewon berkata skim itu akan menawarkan pembiayaan kepada graduan TVET dari seluruh negara termasuk dari Sabah seperti di ESTC Academy, kolej vokasional atau institusi latihan lain.

Beliau berkata TEKUN Nasional terus komited untuk memperkasakan ekonomi negara dengan memperluas sokongan kepada peserta TVET.

"Sebagai agensi di bawah KUSKOP, TEKUN Nasional memahami peranan penting golongan TVET dalam membina tenaga kerja mahir dan memperkasakan sektor keusahawanan negara serta melengkapkan satu daripada rukun Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan lebih ramai peserta TVET mengambil peluang ini dan bersama-sama memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui keusahawanan berasaskan kemahiran," katanya.

Setakat bulan ini, seramai 306 peserta TVET telah menerima manfaat pembiayaan daripada TEKUN Nasional, meliputi pelbagai sektor seperti bengkel motosikal dan kereta, pendawaian elektrik, kimpalan dan pertukangan besi, perkhidmatan mekanikal dan bengkel baik pulih elektronik.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan