AM

SENARIO KEMBALI WARNAI PEMENTASAN TEATER MUZIKAL LAWAK BANGSAWAN

19/05/2025 11:35 PM

MELAKA, 19 Mei (Bernama) -- Kumpulan pelawak terkenal tanah air Senario bakal menemui peminat di pentas teater di sini bulan depan menerusi pementasan Muzikal Lawak Bangsawan: Mimpi Tuanku@Senariounion.

Dijadualkan berlangsung pada 28 Jun di Panggung Bangsawan Melaka di sini, pementasan itu juga akan menyaksikan Azlee, Saiful Apek, Wahid, Lan Pet Pet, Illya dan Yassin bergandingan dengan ikon seni persembahan tanah air Datuk Jalaluddin Hassan.

“Beliau (Jalaluddin) juga bakal membawa watak penting yang menyuntik keanggunan dan kredibiliti pada naskhah muzikal ini,” kata pengarah persembahan Lokman Ghani pada sidang media majlis pelancaran teater itu di sini.

Lokman berkata muzikal itu yang diinspirasikan daripada hikayat klasik Melayu akan dipersembahkan dengan pendekatan kotemporari bagi menarik minat pelbagai generasi.

“Muzikal ini menggandingkan elemen komedi moden dengan keindahan teater bangsawan tradisional,” katanya, menambah persembahan akan sarat dengan keindahan bahasa, sindiran sosial dan jenaka segar.

Beliau berkata persembahan yang akan berlangsung selama dua jam itu merupakan produksi Persatuan Teater Negeri Melaka dengan kerjasama Panggung Bangsawan Melaka dan rakan strategik Boolan Trending.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan