AM

ASEAN ULANGI KOMITMEN PERKUKUH KESELAMATAN KESIHATAN GLOBAL - DZULKEFLY AHMAD

20/05/2025 01:30 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Negara anggota ASEAN mengulangi komitmen mereka dalam usaha memperkukuh keselamatan kesihatan global dan daya tahan serantau berlandaskan prinsip-prinsip solidariti serta kesaksamaan pascapandemik COVID-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan bersama memaklumkan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia bagi pihak semua negara anggota blok itu menggariskan usaha berterusan bagi menangani isu kesihatan transnasional rantau ini yang melibatkan perubahan iklim, jurang ekonomi dan cabaran geopolitik.

Beliau turut menekankan komitmen berterusan ASEAN kepada pendekatan One Health dan penubuhan ASEAN One Health Network bagi memperkasa koordinasi serantau.

“ASEAN telah mencapai kemajuan yang signifikan menerusi kerangka dan mekanisme serantau termasuk Pusat ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baru Muncul, Pusat Pemantauan Ancaman Biologi ASEAN (ABVC) dan Rangkaian Pusat Operasi Kecemasan ASEAN.

“Kami menggesa agar usaha dipercepat bagi memastikan akses kepada yang saksama dan tepat pada masanya kepada langkah-langkah pencegahan yang penting,” katanya pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 yang berlangsung di Palais des Nations, Geneva hari ini.

Dalam ucapannya, Dr Dzulkefly turut memuji kewujudan Perjanjian Pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menyifatkan ia sebagai bukti kepada solidariti global ke arah usaha memperkasa kesiapsiagaan serta respons selain menekankan keperluan untuk berdikari menerusi penghasilan vaksin, diagnostik dan terapeutik tempatan.

Beliau berkata ASEAN juga komited ke arah memperkukuh keamanan dan kemakmuran serantau melalui peningkatan daya tahan dan mampu diri serantau menerusi Deklarasi Komitmen Mengenai Keselamatan dan Kebergantungan Diri terhadap Bekalan Ubat.

Mengulangi perkongsian Strategik ASEAN dengan WHO, Dr Dzulkefly turut menggesa pembiayaan mampan dan pembuatan keputusan secara inklusif dalam tadbir urus kesihatan global kerana visi rantau ini adalah berakar umbi dalam keterangkuman, kemampanan dan kemajuan bersama.

“Kami akan memperkasa keupayaan ASEAN dalam mencegah, mengesan dan memberi tindak balas terhadap kecemasan kesihatan awam, memajukan Liputan Kesihatan Sejagat menerusi pengukuhan sistem kesihatan dan terus memperluas kolaborasi dalam gaya hidup sihat, kesihatan digitan dan keselamatan kesihatan.

“ASEAN menggesa agar sokongan berterusan diberikan di peringkat antarabangsa bagi memperkukuh usaha kolektif kami ke arah membina Komuniti ASEAN yang lebih sihat dan berdaya tahan. Kami komited untuk bekerjasama dalam menangani cabaran kesihatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta kemanusiaan secara amnya,” kata beliau.

Perhimpunan itu, yang berlangsung dari 19 hingga 27 Mei ini, mengumpulkan pemimpin kesihatan global untuk merangka dasar dan kerjasama kesihatan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan