KUANTAN, 19 Mei (Bernama) -- Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang di Bentong sejak semalam sudah pulang ke rumah hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata Jovitra kembali ke rumahnya kira-kira 6.45 petang tadi dan berada dalam keadaan selamat.
“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Bentong yang bekerjasama menularkan kenyataan media mengenai remaja itu sehingga sampai ke pengetahuannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Bentong.
Terdahulu, media melaporkan remaja yang berkulit sawo matang dengan ketinggian 160 sentimeter itu kali terakhir dilihat di Blok C Rumah Pangsa Batu 1, Jalan Tras dan berbaju kemeja-T serta seluar jean berwarna hitam.
Laporan kehilangan remaja itu dibuat datuknya pada 12.06 tengah malam tadi.
-- BERNAMA