AM

LEBIH 100,000 PERMOHONAN MASUK INSTITUSI TVET DIREKODKAN SEJAK APRIL - AHMAD ZAHID 

18/05/2025 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Sebanyak 106,000 permohonan diterima daripada belia seluruh negara untuk menyertai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas ia dipusatkan melalui Unit Pengambilan TVET (UPTVET) bermula awal bulan lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 150,000 permohonan menjelang akhir Jun ini sekali gus mencerminkan keberkesanan terhadap pendekatan baharu tersebut.

Beliau berkata tidak semua belia cemerlang dalam akademik, justeru laluan TVET wajar diberi perhatian sebagai alternatif yang praktikal kerana menjanjikan masa depan cerah. 

“Kalau berjaya sampai ke tahap Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM-3) itu sudah setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan boleh dapat gaji minimum RM2,500, malah SKM-4 dan SKM-5 setaraf dengan diploma,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim di sini malam ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, berkata ketika ini enam universiti bersedia menawarkan kursus TVET iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem), Universiti Selangor (Unisel), Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata selain kemasukan belia ke institusi berkenaan, kerajaaan juga memberikan penekanan terhadap keperluan membantu 1.16 juta belia dalam sektor e-hailing, p-hailing dan industri kreatif.

“Ramai antara mereka mempunyai bakat tetapi tiada kelulusan formal dan jika terus berada dalam sektor berkenaan tanpa peningkatan kemahiran, produktiviti mereka mungkin terjejas menjelang usia 40 tahun.

“Oleh itu, untuk masa depan mereka kerajaan menyediakan program reskilling dan upskilling dalam bidang TVET agar mereka dapat meningkatkan kemahiran serta pendapatan. Elaun harian juga akan disediakan bagi mengurangkan impak kewangan semasa tempoh latihan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid melahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan maut melibatkan golongan belia apabila 90 peratus daripada 6,000 kematian yang direkodkan setiap tahun adalah daripada kumpulan itu dan ia perlu ditangani segera.

“Jika terus berlaku kita akan kehilangan guna tenaga produktif dalam kalangan belia, maka saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya mahu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri (MBN) mengadakan kursus khas permotoran kepada penunggang motosikal muda termasuk aspek keselamatan dan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya program khas lain diwujudkan untuk belia yang tidak berpersatuan agar mereka tidak tersisih daripada arus pembangunan.

Ahmad Zahid juga bersetuju agar beberapa inisiatif khas dilaksanakan untuk golongan belia di Wilayah Persekutuan termasuk penawaran kursus e-sukan secara percuma di UniKL, program TVET dalam bidang automotif EV serta program berasaskan teknologi hijau untuk belia bandar.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan