AM

TANAH RUNTUH: PENDUDUK ORANG ASLI TEMPUH 10 JAM UNTUK KE GUA MUSANG

18/05/2025 03:36 PM

GUA MUSANG, 18 Mei (Bernama) -- Lebih 3,000 penduduk Orang Asli di dua penempatan pedalaman di sini terputus hubungan dengan dunia luar selepas laluan utama ke Pos Simpor dan Pos Gob tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, semalam.

Insiden yang dipercayai berpunca akibat hujan lebat berterusan itu menyebabkan penduduk terpaksa mengharungi perjalanan mencabar selama hampir 10 jam hanya untuk ke bandar Gua Musang bagi urusan harian.

Mohd Syafiq Dendi Abdullah, 32, dari Pos Simpor berkata kejadian disedari kira-kira 9 pagi ketika dia bersama 19 penduduk lain sedang dalam perjalanan ke bandar.

“Setibanya di Kampung Penad, kami dapati laluan tertimbus hampir dua meter dengan tanah serta pokok tumbang dari cerun Bukit Kawug yang runtuh. Kami terpaksa mengangkat motosikal secara bergilir-gilir untuk melepasi runtuhan.

“Perjalanan yang kebiasaannya hanya mengambil masa tiga jam bertukar menjadi sembilan jam akibat halangan ini,” katanya kepada pemberita di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini  hari ini.

Seorang lagi penduduk dari Kampung Gawin, Pos Gob, Along Apok, 40, berkata keadaan jalan bertanah merah yang licin dan becak akibat hujan berterusan menyukarkan lagi pergerakan keluar masuk.

“Hujan bermula sekitar 6 petang Jumaat hingga awal pagi Sabtu. Memang sejak kebelakangan ini kawasan pedalaman kerap hujan lebat dan ini mungkin punca cerun tidak stabil,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Jamil Jabon berkata pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sejurus selepas runtuhan berlaku.

“Kami amat berharap kerja-kerja pembersihan dan meratakan jalan dapat dilakukan segera. Jika tidak, urusan kecemasan seperti membawa pesakit ke hospital boleh terjejas teruk,” katanya.

Timbalan Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu Roslina Bun ketika dihubungi mengesahkan kejadian tanah runtuh itu dan tindakan pantas sedang dirancang.

“JAKOA akan berbincang dengan pihak ladang dan kontraktor yang terlibat dalam projek pembaikan jalan untuk memulakan kerja pembersihan secepat mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan