IPOH, 18 Mei (Bernama) -- Sebutir bom jenis mortar ditemui seorang penduduk dalam semak berhampiran kediamannya di Kampung Kandang Hilir, Kuala Kangsar, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata laporan berkaitan penemuan bom tersebut diterima daripada seorang wanita berusia 30 tahun pada 7.02 malam.
“Sepasukan anggota polis telah ke tempat kejadian dengan dipandu oleh pengadu itu sendiri. Hasil siasatan mendapati bom berkenaan dijumpai kira-kira 30 meter dari rumahnya.
“Hasil siasatan lanjut mendapati bom berkenaan tidak mengandungi bahan letupan dan selamat untuk dipindahkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Heisham berkata bom tersebut telah dibawa ke pangkalan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk tindakan susulan.
-- BERNAMA