AM

TABUNG HAJI SUMBANG RM260,000 BINA SURAU DI KAMPUNG ORANG ASLI

18/05/2025 06:46 PM

JASIN, 18 Mei (Bernama) -- Tabung Haji menyumbangkan RM260,000 bagi membina Surau Al-Munawarrah untuk kegunaan masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Seraya di sini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata surau berkenaan mampu menampung kira-kira 60 jemaah pada satu-satu masa sekali gus membuktikan komitmen kerajaan menyuburkan syiar Islam dalam kalangan komuniti itu.

"Di samping itu, Tabung Haji turut menyumbang peruntukan tambahan berjumlah RM69,250 manakala Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula menyalurkan RM62,100 sebagai sokongan terhadap usaha murni ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Ziarah MADANI bersama Masyarakat Orang Asli Melaka serta Penyerahan Surau Baharu Kampung Orang Asli Bukit Seraya hari ini.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dr Mohamad Kori Jusoh itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan.

Rahmad berkata kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli malah sentiasa memberi bantuan kepada kelompok itu pada setiap masa.

Beliau berkata Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sentiasa mengadakan kelas bimbingan agama Islam kepada komuniti itu secara berkala.

"Malah kita turut melaksanakan ibadah korban ketika Hari Raya Aidiladha di kampung-kampung Orang Asli yang terdapat di negeri ini pada setiap tahun," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan