KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.4 peratus dalam suku pertama 2025, didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang kekal mampan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif dan dasar kerajaan, berbanding 4.2 peratus dalam tempoh sama 2024.
Angka pada suku pertama 2025 itu bagaimanapun lebih sederhana berbanding pertumbuhan 4.9 peratus pada suku keempat 2024.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata prestasi suku pertama itu didorong oleh aktiviti pelaburan dan pertumbuhan eksport berterusan, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik serta pelancongan.
“Penguncupan pengeluaran minyak dan gas serta normalisasi dalam jualan dan pengeluaran kenderaan selain kesan asas yang tinggi adalah faktor yang memberi tekanan kepada pertumbuhan pada suku pertama 2025,” katanya ketika mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2025 di sini, hari ini.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sektor perkhidmatan berkembang 5.0 peratus, sektor pembuatan (4.1 peratus), pertanian (0.6 peratus), perlombongan (-2.7 peratus) dan pembinaan (14.2 peratus).
Abdul Rasheed berkata inflasi diunjur kekal dalam julat sederhana, didorong oleh kos global yang terus menurun dan permintaan yang tidak berlebihan.
“Bagi suku pertama 2025, inflasi keseluruhan inflasi turun kepada 1.5 peratus manakala inflasi teras meningkat kepada 1.9 peratus disebabkan inflasi utiliti dan perkhidmatan mudah alih lebih rendah yang sebahagiannya diimbangi oleh inflasi sewa yang lebih tinggi," katanya.
Selain itu, lebihan akaun semasa pula lebih besar pada 3.4 peratus dalam suku pertama 2025 berbanding 2.6 peratus pada suku keempat 2024 dengan aliran berterusan pelaburan langsung asing (FDI).
Abdul Rasheed berkata aliran masuk FDI yang berterusan itu disokong terutamanya oleh suntikan ekuiti, pelaburan semula keuntungan dan instrumen hutang.
“FDI terutamanya telah disalurkan ke dalam perkhidmatan kewangan dan sub-sektor teknologi maklumat sert komunikasi,” katanya.
Beliau berkata ekonomi Malaysia akan menerima kesan perubahan dasar perdagangan global, walaupun pertumbuhan permintaan domestik berdaya tahan.
“Anggaran dalaman menunjukkan pertumbuhan dijangka rendah sedikit berbanding unjuran awal sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025.
“Namun begitu, Malaysia menghadapi cabaran ini dari kedudukan yang kukuh,” katanya.
Abdul Rasheed berkata ketidakpastian yang tinggi berhubung keputusan rundingan perdagangan dan cara perdagangan global akan berubah susulan keputusan terbabit menyukarkan penilaian mengenai kesan sebenar terhadap pertumbuhan pada masa ini.
“Julat unjuran pertumbuhan ekonomi rasmi yang baharu akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik sahaja faktor-faktor ini menjadi lebih jelas,” katanya.
-- BERNAMA