NILAI, 16 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan dadah pelbagai jenis seberat 145 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM13 juta susulan beberapa serbuan berasingan dalam tempoh dua bulan ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa berkata serbuan dijalankan di Batu Cave, Selangor; Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Salak Selatan dan Sentul, Kuala Lumpur; serta Subang Jaya, Selangor.
Beliau berkata pihaknya mendapati penggunaan perkhidmatan pindah barang (mover) dikesan antara modus operandi baharu digunakan untuk menyeludup dadah selepas pemeriksaan ke atas sebuah gudang syarikat mover di Batu Caves, pada 10 April lepas.
“Pasukan menyita 90 kotak pelbagai saiz di gudang tersebut. Hasil pemeriksaan menjumpai 344 ketulan mampat disyaki heroin seberat 122.85kg bernilai RM11.5 juta dalam empat kotak berisi pembesar suara yang diubah suai untuk dihantar ke Australia manakala baki 86 kotak mengandungi kelengkapan rumah," katanya kepada pemberita pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan di sini hari ini.
Raizam berkata kes tersebut pertama kali dikesan melibatkan sindiket dadah menggunakan perkhidmatan mover untuk menghantar barangan menggunakan kontena ke Pelabuhan Klang.
Dalam kes berasingan, Raizam berkata pada 9.45 malam, 13 Mac lepas sepasukan anggota bersama Anjing Pengesan Dadah (K9) Cawangan Narkotik JKDM memeriksa tiga kotak dagangan di sebuah gudang syarikat logistik di Kargo KLIA.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap kotak tersebut, menjumpai lima plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 5,105 gram (g) bernilai RM163,360 disorok bersama barangan dagangan kasut keselamatan untuk dieksport ke luar negara.
Seterusnya pada 3 April lepas, serbuan di kondominium di Salak Selatan menjumpai 5,000g dadah jenis 3,4-metil​enadioksi​metamfetamina (MDMA) dengan anggaran nilai RM835,000, lanjutan itu serbuan diteruskan di sebuah kondominium di Sentul menjumpai 6,176g ketamin dan 763g kanabis bernilai RM311,165.50.
Beliau berkata modus operandi kes tersebut menggunakan perkhidmatan kurier udara untuk mengimport dadah ke negara ini dan seorang suspek lelaki warga tempatan ditangkap serta dituduh di mahkamah.
Pada 10 April pula, pasukan menemukan 5,106g serbuk kristal disyaki methamphetamine bernilai RM163,392 dalam serbuan ke atas premis syarikat kurier di Subang Jaya.
“Penemuan dadah ini hasil pemeriksaan terhadap sebuah kotak bungkusan (parcel) mengandungi alas kaki. Modus operandi sindiket adalah menyorokkan dadah dalam alas kaki yang telah diubah suai untuk tujuan dieskport melalui perkhidmatan kurier udara.
“Susulan itu seorang suspek lelaki tempatan ditahan dan dituduh di mahkamah,” katanya menambah kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA