AM

HRBP TAWARKAN HARAPAN DENGAN PEMBEDAHAN BARIATRIK TERMAJU

16/05/2025 11:45 PM

IPOH, 16 Mei (Bernama) -- Klinik bariatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, kini menawarkan harapan dan peluang untuk masa hadapan yang lebih sihat bagi mereka yang menghadapi masalah obesiti.

Perunding Bedah Am, Bariatrik dan Oesofago Gastrik HRPB Dr S. Kumaresan berkata hospital itu, menyediakan pembedahan bariatrik yang mampu mengubah kehidupan individu yang berjuang melawan obesiti.

“Satu daripada prosedur utama yang ditawarkan hospital ini ialah Single Anastomosis Duodenal-Ileal Bypass with Sleeve Gastrectomy (SADI-S), iaitu satu kaedah penurunan berat badan inovatif yang menggabungkan elemen sleeve gastrectomy dan gastric bypass.

“Diiktiraf sebagai piawaian emas untuk rawatan penurunan berat badan, pembedahan bariatrik bukan sahaja membantu pesakit menurunkan berat badan berlebihan, tetapi juga memperbaiki kesihatan keseluruhan serta jangka hayat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dilaksanakan di HRPB sejak April tahun lepas, SADI-S telah menunjukkan kejayaan yang ketara. Prosedur ini menggabungkan aspek terbaik daripada sleeve gastrectomy dan gastric bypass, menawarkan penurunan berat badan yang mampan dan pengurangan penyakit berkaitan obesiti seperti diabetes dan hipertensi, tanpa kesan sampingan yang ketara.

“Dengan enam pembedahan berjaya dilakukan, pesakit telah melaporkan perubahan drastik, termasuk kehilangan sehingga 80 peratus daripada berat badan berlebihan mereka dalam tempoh setahun.

“Bagaimanapun, prosedur ini hanya disarankan kepada individu yang memenuhi kriteria ketat seperti mempunyai BMI melebihi 45 atau menghidap penyakit seperti diabetes, hipertensi atau apnea tidur.

“Pesakit juga mesti komited kepada diet tinggi protein serta pemantauan pemakanan dan pengambilan suplemen sepanjang hayat. Ini bukan sekadar penurunan berat badan, tetapi mengenai mengubah gaya hidup,” katanya

Sementara itu Dr Kumaresan turut menekankan kepentingan merawat obesiti sebagai penyakit kronik yang tidak boleh diselesaikan semata-mata menerusi diet dan senaman.

Beliau turut menyatakan bahawa salah faham dan stigma terhadap pembedahan bariatrik masih menjadi penghalang utama kepada rawatan.

“Ramai yang menganggap prosedur ini sebagai satu jalan mudah, sekali gus menjejaskan kepentingannya sebagai satu intervensi perubatan yang dikawal selia secara profesional.

“Stigma inilah menjadi antara cabaran terbesar kami,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan