KUCHING, 9 Mei (Bernama) -- Sarawak merancang menubuhkan kumpulan sokongan penjagaan luka di seluruh negeri ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata kumpulan berkenaan terdiri dalam kalangan pesakit, penjaga, penyedia perkhidmatan kesihatan dan sebagainya untuk berkongsi pengetahuan selain memberikan sokongan emosi dan sosial.
“Kita percaya proses penyembuhan (luka) akan berlaku dengan lebih cepat apabila tiada sesiapa berasa keseorangan dalam mengharunginya," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Luka Antarabangsa D-Foot ketiga 2025 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng.
Dr Sim berkata terdapat trend peningkatan penyakit tidak berjangkit di negeri ini khususnya diabetes, yang terus memberi kesan kepada masyarakat dengan kadar yang membimbangkan.
Beliau berkata dianggarkan hampir satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes dan di Sarawak, trend serupa dapat dilihat, dengan bilangan pesakit yang ketara menghidap ulser kaki akibat diabetes.
“Realitinya amat membimbangkan, 15 hingga 20 peratus kes ulser kaki akibat diabetes berakhir dengan amputasi anggota bawah. Hal ini bukan sekadar statistik, sebaliknya mengganggu kehidupan, mata pencarian dan keluarga. Itulah sebabnya penjagaan luka bukan lagi isu sampingan, ia adalah keutamaan dalam agenda kesihatan negeri kita," katanya.
Beliau berkata Sarawak sedang mengambil langkah proaktif untuk menangani isu berkenaan dengan melaksanakan inisiatif yang menumpukan antaranya terhadap peluasan program pengesanan awal serta pemeriksaan kaki di semua peringkat penjagaan kesihatan primer.
"Kita juga akan memperkasakan petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan dengan melengkapkan mereka latihan terkini dan peralatan bersesuaian bagi merawat luka kronik dengan lebih berkesan,” katanya.
-- BERNAMA