ALOR SETAR, 14 Mei (Bernama) -- Kedah tidak akan menyambung pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini, yang dikhuatiri turut menjadi satu daripada alat untuk penyalahgunaan dadah.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata dalam mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri semalam, perbincangan turut menyentuh berkaitan penggunaan vape sebagai medium penyalahgunaan dadah sintetik.
"Ada pihak mengambil kesempatan menjual dadah sintetik dalam bentuk cecair yang boleh dihisap menggunakan vape. Menghalang jualan vape merupakan satu daripada jalan untuk mengekang penyalahgunaan dadah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan penjualan rokok elektronik atau vape di Perlis diharamkan berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dilapor berkata keputusan itu dibuat berdasarkan larangan penggunaan vape yang diputuskan haram menerusi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengenai rokok elektronik itu pada 2022.
Muhammad Sanusi berkata tindakan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan vape di negeri ini bagaimanapun tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelak sebarang isu.
"Lesen sedia ada kena matikan dulu sebab pernah ada kes mahkamah untuk kes lain... Takut ada kelompangan terlepas pandang, kita akan disaman," katanya.
Beliau berkata pihaknya berharap larangan jualan vape termasuk di kedai runcit juga akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula tahun depan, selepas tiada lagi lesen jualan disambung.
Kerajaan negeri katanya akan terus mempergiat tindakan membanteras dadah di peringkat daerah dengan kerjasama Pegawai Daerah, Ketua Polis Daerah serta Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Penyalahgunaan dadah telah menjadi 'kudis dan barah' dalam masyarakat, sehubungan dengan itu ia perlu segera dirawat agar tidak lebih mudarat pada masa akan datang,” katanya.
-- BERNAMA