PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu rokok elektronik atau vape terutama melibatkan pelajar sekolah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata ia susulan beberapa kes tular di media sosial mengenai penggunaan vape yang bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah sebaliknya meragut nyawa pengguna peranti elektronik itu.
“Mereka (anggota jawatankuasa) akan bermesyuarat dalam waktu terdekat, seterusnya akan dapat memberikan beberapa pandangan serta syor kepada saya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata Bahagian Kesihatan Awam (BKA) KKM sedang meneliti impak penguatkuasaan dan perundangan sedia ada melibatkan vape.
“Hasil penelitian dan perbincangan akan dibentangkan kepada jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari dan pakar perunding kesihatan awam Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) turut menjadi antara faktor kepada penubuhan jawatankuasa itu bagi membendung penggunaan vape.
“Ketika ini, kita meneliti kepada impak atau peraturan sedia ada dan juga pemantauan kepada kes-kes yang melibatkan vape,” katanya.
Baru-baru ini tular di laman sosial kandungan video berdurasi kira-kira 10 saat memaparkan sekumpulan pelajar sekolah sedang menggunakan peranti elektronik itu di kawasan surau serta perkongsian video daripada seorang individu yang mendakwa mengalami masalah kesihatan akibat ketagihan vape sebelum meninggal dunia Rabu lepas.
-- BERNAMA