AM

CADANGAN PENGHARAMAN PENJUALAN VAPE AKAN DIBINCANGKAN DALAM MMKN - AMIRUDIN

13/05/2025 02:15 PM

KUALA SELANGOR, 13 Mei (Bernama) -- Cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape di Selangor, akan dibentangkan dan dibincangkan dengan lebih teliti pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin telah diarahkan untuk berbuat demikian, susulan mesyuarat bersepadu yang dijalankan bersama agensi terlibat sebelum ini.

“Saya telah arahkan untuk satu kertas dibuat dan dibentangkan kepada MMKN untuk kita pertimbangkan, kerana sebarang keputusan oleh kerajaan negeri harus dibuat secara menyeluruh dengan melihat semua aspek supaya ia dapat memberi jaminan kepada kesihatan generasi masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di sini hari ini.

Sebelum ini, Jamaliah dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat bersepadu bersama Pejabat Menteri Besar itu melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jamaliah berkata mesyuarat itu, diadakan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh dari aspek penguatkuasaan, perundangan dan kesan terhadap sosioekonomi berkaitan penjualan vape.

Pada 24 April, media melaporkan kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik di semua premis di negeri berkenaan bermula 1 Ogos.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan