AM

KEMALANGAN TRAK FRU : MENTERI KABINET ZAHIR SIMPATI, ANGGAP KEHILANGAN BESAR KEPADA NEGARA

13/05/2025 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan awal pagi tadi mengejutkan seluruh negara.

Media sosial dibanjiri ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa termasuk oleh barisan Kabinet yang bukan sahaja menyatakan kesedihan malah menitipkan doa agar mereka terus kuat dan tabah menghadapi dugaan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ngan Kor Ming berkata kemalangan itu adalah satu tragedi yang amat menyayat hati seterusnya merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

"Pemergian mereka satu kehilangan besar kepada pasukan keselamatan dan negara. Jasa bakti serta pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan diletakkan bersama insan yang soleh dan beriman," katanya menerusi catatan di Facebook.

Nga, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Politiknya Steven Chaw untuk menziarahi ahli keluarga yang terbabit dan mencari jalan untuk menghulurkan bantuan segera. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula menganggap pemergian anggota-anggota keselamatan itu sebagai satu kehilangan besar kepada negara memandangkan mereka sedang menjalankan amanah demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.

“Mereka pergi dalam menjalankan amanah, berkhidmat demi negara, demi keamanan kita semua,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian itu.

Sementara itu, Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan insiden tersebut sebagai peristiwa menyayat hati yang melibatkan wira negara dan satu dugaan yang sangat berat untuk ditanggung.

“Semoga keluarga mangsa diberi kekuatan, ketabahan dan ketenangan hati dalam menghadapi saat-saat duka ini. Kesedihan ini turut dirasai oleh semua.

"Pengorbanan para anggota FRU ini akan sentiasa dikenang sebagai lambang keberanian dan semangat juang yang tidak ternilai,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa dan  merahmati roh mereka seterusnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan ganjaran atas segala jasa dan sumbangan kepada negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan semoga keluarga yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian itu.

Nahas pada 8.50 pagi itu membabitkan trak dinaiki 15 anggota FRU dari Unit 5 Ipoh dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke Ipoh selepas penugasan di Teluk Intan sebelum bertembung dengan sebuah lori pasir yang membawa muatan batu. 

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

 “Kehilangan mereka adalah satu kesedihan yang mendalam bagi kita semua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka, menerima amal soleh yang telah dilakukan dan mengampuni segala dosa mereka.

“Kita mengenang jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan serta keselamatan masyarakat. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud menerusi hantaran di Facebook turut merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga anggota yang terlibat.

"Semoga siasatan menyeluruh dapat dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini dan langkah-langkah pencegahan dapat diambil untuk mengelakkan tragedi seumpama ini berulang," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan