KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Lapan pasukan daripada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi media mengesahkan penyertaan pada Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 yang diadakan pada 31 Mei ini, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Menurut Sekretariat HAWANA, lapan pasukan itu terdiri daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Astro News Radio, Malaysia Gazette, Sinar Harian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dua pasukan mewakili Media Prima Berhad.
“Setiap pasukan dianggotai empat pemantun dengan jumlah keseluruhan peserta 32 orang,” menurut kenyataan sekretariat itu hari ini.
Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 anjuran Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diadakan buat julung kalinya sebagai usaha mengangkat seni pantun sebagai warisan bangsa yang wajar dipelihara dan dimartabatkan.
Pertandingan itu akan diadakan di Wisma Bernama.
Penyampaian hadiah kepada pemenang utama diadakan pada 14 Jun ini sempena sambutan kemuncak HAWANA 2025 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara
Selain Pesta Pantun, HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara termasuk majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun dan forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.
Turut diadakan karnival dan pameran HAWANA di pusat beli-belah Sunway Putra Mall yang berlangsung dua hari bermula 13 Jun selain sukan media yang menampilkan elemen tradisional serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak serta Johor.
HAWANA yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran pertama pada 2018 merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
Selepas edisi pertama di Kuala Lumpur, kemuncak sambutan HAWANA diteruskan di Melaka pada 2022 diikuti Perak (2023) dan di Sarawak tahun lepas.
-- BERNAMA