PORT DICKSON, 16 Mei (Bernama) -- Pengamal media berbahasa Tamil perlu sentiasa menambah ilmu berkaitan serta mendapatkan maklumat terkini bagi memastikan segala perancangan atau dasar kerajaan disampaikan secara meluas dan tepat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata ilmu itu termasuk menerusi program atau kursus yang dianjurkan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
“Contohnya sertai Kursus Kreativiti dan Inovasi dalam Membina Kandungan Media Tamil anjuran IPPTAR seperti hari ini. Pelbagai ilmu dan teknik diberikan untuk pendedahan dan memperkasakan pengamal media Tamil. Jika perlu, mereka boleh menghubungi IPPTAR untuk menghadiri kursus seumpama ini.
“Kita harap kursus ini dapat menambah pengetahuan mereka untuk menghasilkan berita yang lebih bermakna, sekali gus memastikan pelbagai dasar kerajaan disampaikan kepada masyarakat Tamil yang membaca dan mendengar di platform Tamil,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan kursus yang disertai 18 pengamal media dalam talian, swasta dan kerajaan selama tiga hari bermula 14 Mei, yang turut dihadiri Ketua Bahagian Akademik IPPTAR S. Kumaran di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kumaran berkata kursus julung kali diadakan yang memfokuskan komuniti India itu antara lain bagi memberi pendedahan tentang penggunaan teknologi mudah alih dalam menghasilkan berita dan kandungan media secara pantas dan efisien.
“Boleh dikatakan ia sebagai anjakan paradigma kepada peserta kerana rata-rata mereka tak pernah menghadiri kursus seperti ini bagi menambah pengetahuan. Menerusi slot mobile journalism (MoJo) dalam kursus ini, mereka dapat memperkasakan lagi kemahiran yang ada.
“Semalam juga ada slot etika dan tanggungjawab kewartawanan yang disampaikan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj. Ini penting bagi maklumat kepada mereka untuk menghasilkan kandungan dan berita dengan fakta yang tepat,” katanya.
Kumaran berkata pihaknya turut berhasrat menjadikan kursus itu sebagai program tahunan dengan beberapa siri selepas ini.
“18 peserta ini akan jadi ejen supaya mereka mempromosikan kandungan kursus dan program di IPPTAR agar lebih ramai yang akan sertai. Daripada itu, kita dapat tahu apa yang diinginkan pengamal media India dan kita boleh rancang beberapa siri... Kursus hari ini sebagai projek perintis kita,” katanya.
Seorang peserta R. Gunadharmila Devi, 34, daripada Bahagian Media Sosial dan Media Baharu Jabatan Penerangan berkata kursus berkenaan sangat membantu menambah maklumat terutama bagi mereka yang bekerja dalam bidang berkaitan.
“Kursus ini ajar kita teknik untuk sampaikan makluman kepada orang ramai dengan mudah, contohnya infografik dan sebagainya selain cara pastikan berita yang kita sampaikan adalah tepat… Saya rasa tiga hari tak cukup, generasi muda perlu ambil inisiatif dapatkan maklumat dengan sertai kursus seperti ini,” katanya.
-- BERNAMA