KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Seramai 80 peserta dari pelbagai peringkat pengurusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai Kursus Protokol, Etiket Sosial dan Komunikasi Berkesan dalam usaha memperkukuh kemahiran sosial dan komunikasi profesional dalam kalangan warga universiti itu.
UniMAP dalam kenyataan memaklumkan kursus anjuran Pusat Komunikasi Korporat menerusi Unit Protokol dan Perhubungan Korporat itu berlangsung selama dua hari bermula 8 Mei di Dewan Keikhlasan, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP, Perlis.
"Kursus dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif CuteCarry Sdn Bhd Hafiz Mustapha ini bertujuan memberi pendedahan dan latihan kepada peserta mengenai tatacara pergaulan rasmi dan tidak rasmi selaras budaya organisasi, norma profesional dan adab masyarakat majmuk.
"Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen UniMAP dalam melahirkan warga kerja yang bukan sahaja cemerlang dari segi kompetensi teknikal, tetapi menyerlah dari segi perwatakan profesional, tatatertib dan komunikasi berhemah," menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dalam kenyataan sama berkata penguasaan ilmu protokol dan etiket sosial dalam menjaga imej serta reputasi institusi adalah penting, khususnya ketika berurusan dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.
"Sebagai universiti yang sentiasa berinteraksi dengan pelajar, ibu bapa, agensi, industri dan pihak berkepentingan lain termasuk pihak istana dan kementerian, amat penting untuk kita memiliki kemahiran etiket sosial serta protokol agar layanan kita sentiasa kelihatan profesional, beradab dan teratur.
"Saya berharap para peserta, terutama dekan dan ketua jabatan, mengambil peluang ini untuk bertanya, berkongsi pengalaman dan memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang dikongsikan," katanya.
Kursus itu turut dihadiri barisan timbalan naib canselor, pegawai utama universiti, dekan fakulti, ketua jabatan serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Turut serta wakil daripada Persatuan Kakitangan Akademik, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas, Kesatuan Kakitangan Pelaksana dan Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita.
-- BERNAMA