KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Regu negara menepati ramalan mara ke separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 selepas mengetepikan Brunei dengan keputusan 2-0 pada aksi suku akhir di Stadium Titiwangsa, di sini malam ini.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Ahmad Mohd Zain bertemu regu Vietnam yang berjaya menundukkan Indonesia 2-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Terdahulu, Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) tidak berdepan masalah dalam mengekalkan momentum kemenangan selaku juara Kumpulan A pagi tadi untuk meraih mata pertama 15-7.
Kemasukan Mohammad Syahir Rosdi bagi menggantikan Muhammad Haziq menyuntik semangat pasukan sekali gus mengesahkan kemenangan ke atas Brunei dengan 15-4.
Sementara itu, dalam dua lagi aksi suku akhir menyaksikan India menewaskan Filipina 2-1 manakala Thailand menewaskan Jepun 2-0.
Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan di peringkat separuh akhir esok.
-- BERNAMA