AM

63 WARGA BERNAMA TERIMA APC 2024 - CEO BERNAMA

15/05/2025 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Seramai 63 warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024 sebagai pengiktirafan atas prestasi dan sumbangan cemerlang mereka sepanjang tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata majoriti penerima merupakan individu yang menerima APC buat kali pertama dengan kebanyakan daripada mereka telah berkhidmat lebih 10 tahun dalam agensi berita itu.

“Kita merasakan sudah tiba masanya mereka diberi pengiktirafan yang sewajarnya sebagai suntikan semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.

“Terdapat juga penerima APC buat kali kedua dan ketiga,” katanya ketika ditemui selepas Majlis APC 2024 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di Auditorium Seri Angkasa Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Nur-ul Afida berkata dengan hampir 1,000 petugas di Bernama, tidak semua boleh diberi anugerah serentak, namun penganugerahan itu diharap menjadi inspirasi kepada yang lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Sementara itu beliau turut menekankan komitmen Bernama terhadap adaptasi teknologi terkini termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) terutamanya dalam bidang penyiaran televisyen.

“Kita sedang membentuk dan melatih bakat dalaman untuk menjadi penulis dan penerbit kandungan yang mahir dalam penggunaan AI,” katanya.

Selain itu beliau berkata Bernama turut melaksanakan pelbagai kursus AI secara berfokus termasuk melibatkan pengamal media di Sabah dan Sarawak menerusi peruntukan kerajaan sebanyak RM1 juta yang diumumkan pada kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun lepas.

“Setiap kali kita anjurkan kursus, maklum balas peserta sangat positif kerana ramai yang tidak berpeluang mengikuti kursus sebegini secara sendiri,” katanya.

Nur-ul Afida berkata enam lagi siri latihan AI akan dilaksanakan tahun ini mengikut negeri, melibatkan pelbagai agensi media.

“Sehingga kini lebih 100 pengamal media telah dilatih melalui kursus ini yang diadakan secara berfokus, termasuk dengan kerjasam syarikat teknologi seperti Huawei dan REDtone,” katanya.

Februari lepas Bernama di bawah Pusat Kecemerlangan agensi berita itu menganjurkan kursus ‘AI in the Newsroom’ dengan kerjasama Huawei dan REDtone, di Huawei Customer Solution Innovation Centre (CSIC), yang melibatkan 40 peserta dalam kalangan editor kanan agensi media utama negara.

Sementara itu penerima APC kali pertama Nor Liyana Zulkifli, 38, yang merupakan wartawan dan penyampai berita Bernama TV berkata, pengiktirafan yang diterima hari ini amat dihargai dan beliau akan terus memberi komitmen dalam setiap tugasan diamanahkan.

“Syukur atas penghargaan ini dan saya dedikasikan untuk arwah ibu saya yang selama ini tidak putus-putus mendukung cita-cita saya sebagai wartawan,” katanya.

Bagi Maizatul Jamny Muhammad Rosli, 33, yang juga pertama kali menerima anugerah tersebut, beliau menganggap ia sebagai suatu pengiktirafan yang membakar semangatnya untuk terus memberi perkhidmatan terbaik pada masa akan datang.

"Terima kasih Bernama, Kementerian Komunikasi. APC yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus berbakti dengan cemerlang,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Berita di Meja Berita, Jabatan Pengarang, Wisma Bernama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan