KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Warga Kementerian Komunikasi khususnya penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 perlu terus memberikan komitmen dalam mempertingkatkan mutu kerja dan produktiviti bagi memacu pembangunan negara dengan menitikberatkan ilmu pengetahuan, adab, budaya serta semangat cinta akan negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata usaha itu selari dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang meletakkan antara objektif utamanya adalah memelihara kesejahteraan pegawai, menyokong pelaksanaan tanggungjawab sosial serta menjaga imej dan status.
“Justeru, menjadi tanggungjawab semua penjawat awam pada hari ini untuk meletakkan kesungguhan dalam setiap tugas yang diamanahkan.
“Diharapkan semua ciri positif dan sikap baik ini terus berkembang bagi membentuk jati diri warga Kementerian Komunikasi sebagai penjawat awam yang cemerlang dan berdaya maju dalam segenap lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis APC 2024 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di Auditorium Seri Angkasa Angkasapuri Kota Media di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Seramai 691 warga Kementerian Komunikasi menerima sijil penghargaan dan insentif bernilai RM1,000 sempena majlis APC 2024 termasuk 63 penerima daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Mohamad Fauzi berkata terdapat 541 penerima APC melibatkan warga kementerian yang berkhidmat di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia, manakala bakinya adalah warga kementerian yang akan diraikan bagi zon Sabah dan Sarawak.
“Semoga anugerah ini menjadi pembakar semangat kepada saudara dan saudari untuk sentiasa cemerlang seterusnya dilihat sebagai obor pembakar semangat bagi warga kerja yang lain agar terus gigih, cekal serta sentiasa memberikan komitmen penuh dalam melaksanakan amanah bangsa ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata menariknya majlis di Zon Semenanjung tahun ini adalah meraikan seorang penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) 2024, Meor Shahrul Azaha Meor Mat Salleh yang merupakan Penolong Jurutera (Gred JA5) yang berkhidmat di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
-- BERNAMA