ANKARA, 16 Mei (Bernama-Anadolu) -- Satu lagi nyawa terkorban di Gunung Everest musim ini apabila seorang pendaki warga India meninggal dunia ketika menuruni puncak, kata pengendali ekspedisi pada Jumaat, memetik laporan media tempatan oleh Anadolu Ajansi.
Bodhraj Bhandari, Pengarah Urusan Snowy Horizon Treks, berkata Subrata Ghosh, 45, dari Bengal Barat, India, meninggal dunia pada Khamis tepat di bawah Hillary Step, berhampiran puncak Everest, menurut laporan The Himalayan Times.
Ghosh berjaya mencecah puncak bersama pemandunya tetapi menjadi amat letih dan menunjukkan tanda-tanda penyakit altitud sepanjang menuruni puncak.
Usaha sedang dijalankan untuk membawa mayatnya ke Everest Base Camp.
Beliau adalah sebahagian daripada Ekspedisi Snowy Everest 2025 anjuran Persatuan Pendaki Gunung Krishnanagar.
Sebelum ini pada Khamis, seorang pendaki warga Filipina turut maut ketika cuba menawan puncak Everest. Philipp Santiago, 45, tiba di Kem IV dalam keadaan keletihan teruk pada Rabu dan kemudian meninggal dunia akibat kepenatan. Mayatnya ditemukan di situ.
-- BERNAMA-Anadolu