EKONOMI

HONDA MALAYSIA LANCAR KENDERAAN ELEKTRIK BERKUASA BATERI PERTAMA E:N1 BERHARGA RM149,900

16/05/2025 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Honda Malaysia melancarkan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) pertamanya iaitu e:N1 yang berharga RM149,900 seunit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Narushi Yazaki berkata pelancaran model itu mengukuhkan barisan kenderaan elektrik (EV) Honda dan menawarkan lebih banyak pilihan mobiliti kepada rakyat Malaysia selaras dengan strategi perniagaan syarikat bagi tahun 2025.

“Kami merancang untuk memperkenalkan dua lagi model EV dalam tempoh tiga tahun akan datang. Bagaimanapun dalam hal ini kami akan memantau dengan teliti permintaan pelanggan dan harga daripada pesaing, memandangkan pasaran sedang berkembang dengan pesat.

“Matlamat kami adalah untuk bertindak balas secara berhati-hati dan strategik,” katanya selepas pelancaran e:N1 di sini hari ini.

Dikuasakan oleh bateri litium-ion 68.8kWh, e:N1 berupaya menjana kuasa maksimum 150kW dan kuasa kilas 310Nm.

Ia menyokong pengecasan AC (pengecasan biasa) sehingga 10kW dan dilengkapi dengan pengecasan DC (pengecasan pantas) sehingga 78kW.

Warna yang tersedia untuk model itu ialah Platinum White Pearl, Aqua Topaz Metallic dan Urban Gray Pearl.

“Syarikat setakat ini telah menerima 200 tempahan dan penghantaran pertama dijangka pada pertengahan Jun. Kami juga telah melantik lapan pengedar sah yang pakar dalam menguruskan kereta EV,” kata Yazaki.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum berkata pihaknya berharap agar kerajaan akan terus melanjutkan lagi insentif, termasuk pengecualian cukai untuk EV yang dipasang secara tempatan (CKD) selepas 2027.

Beliau berkata cadangan itu juga bertujuan untuk menyokong sasaran negara bagi menjadikan EV menyumbang 15 peratus daripada jumlah jualan kenderaan di negara ini menjelang 2030.

"Jika program CKD bermula pada 2027, pengeluar akan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun selepas itu untuk mendapatkan semula pelaburan mereka. Insentif adalah penting bukan sahaja untuk Honda, tetapi untuk seluruh industri automotif.

“Inilah pentingnya sokongan kerajaan kerana tanpa kesinambungan insentif, ia akan menjadi cabaran bagi Honda untuk memulakan program CKD,” katanya.

Kerajaan sebelum ini telah menawarkan insentif seperti pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CKD bagi membantu menjadikannya lebih mampu milik untuk pengguna.

EV yang diimport sepenuhnya (CBU), dikecualikan daripada cukai import dan cukai eksais sehingga 31 Disember, 2025, manakala EV CKD menikmati pengecualian itu sehingga 31 Disember, 2027.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan