EKONOMI

UNTUNG BERSIH SUKU PERTAMA 2025 KEYFIELD SUSUT KEPADA RM20.67 JUTA

15/05/2025 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Keyfield International Bhd mencatatkan untung bersih yang lebih rendah sebanyak RM20.68 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025 berbanding RM30.30 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil menyusut sebanyak 12.5 peratus kepada RM86.75 juta daripada RM106.39 juta, terutamanya disebabkan penurunan hasil perkapalan. 

"Hasil daripada kapal milik syarikat susut sebanyak 10.3 peratus atau RM8.3 juta kepada RM72.6 juta daripada RM80.9 juta tahun ke tahun, manakala hasil daripada kapal milik pihak ketiga merosot sebanyak RM11.4 juta (44.7 peratus) kepada RM14.1 juta (suku pertama 2024: RM25.5 juta).

“Penurunan hasil daripada kapal milik syarikat disebabkan terutamanya oleh bilangan hari sewaan yang lebih rendah pada suku pertama 2025, mewakili kadar penggunaan 44.1 peratus, berbanding 67.1 peratus pada suku pertama 2024,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata kadar penggunaan yang lebih rendah pada suku pertama 2025 disebabkan terutamanya oleh empat kapalnya menjalani tinjauan khas lima tahun dalam tempoh ini, menjadikan kapal itu tidak dapat disewakan.

Selain itu, beberapa projek penyewaan berakhir pada akhir suku keempat 2024, dan beberapa projek baharu hanya bermula lewat 2025, seterusnya menjejaskan penggunaan bagi suku pertama.

Mengenai prospek, kumpulan itu kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap unjuran tahun kewangan berakhir 2025 dan seterusnya.

“Kami mengembangkan kumpulan kapal kami dengan kapal tambahan sejak 2022, yang menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan dan keuntungan kami.

"Bagi tahun kewangan berakhir 2025, kami merancang untuk terus memperluas armada kami sambil melaksanakan penyesuaian strategik bagi memenuhi keperluan pelanggan dan memastikan permintaan yang berterusan," katanya.

Keyfield International juga berkata lembaran imbangannya yang kukuh, dengan penggearan bersih sifar pada penghujung suku pertama 2025, meletakkan syarikat dengan baik untuk memanfaatkan peluang dalam pasaran.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak satu sen setiap saham biasa berkenaan bagi tahun kewangan berakhir 2025, berjumlah kira-kira RM8.1 juta.

Dividen itu akan dibayar pada 13 Jun 2025, kepada pemegang saham yang tercatat dalam rekod pendeposit setakat 30 Mei 2025.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan