EKONOMI

PROGRAM XCHANGE PROTON BERI PELUANG PEMILIK TUKAR KENDERAAN LAMA

15/05/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pemilik kereta lama kini berpeluang memiliki kenderaan baharu Proton menerusi Program Xchange yang dilancarkan oleh pengeluar kereta nasional itu hari ini.

Dalam kenyataannya, Proton Holdings Bhd berkata kempen menerusi kerjasama dengan Car Medic Sdn Bhd, juga memaparkan sokongan padu syarikat itu terhadap usaha kerajaan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya selain mempromosikan mobiliti lebih hijau.

“Program ini terbuka kepada pemilik semua jenis kereta tanpa mengira jenama. Bagi memastikan program ini mencapai matlamatnya, Proton bersama Car Medic telah merangka penyelesaian menyeluruh yang memberi insentif kepada peserta serta menjamin pelupusan kenderaan lama secara selamat.

“Proton menyediakan sokongan dagangan lebihan sebanyak RM2,000 untuk pendaftaran kenderaan Proton baharu, termasuk Proton e.MAS 7 yang juga model kereta elektrik paling laris di Malaysia.

“Sebanyak RM4.8 juta telah diperuntukkan untuk program ini yang akan berlangsung sehingga akhir Disember 2025,” katanya.

Menurut Proton, antara kriteria kelayakan insentif itu adalah kenderaan berusia 15 tahun ke atas atau lebih dan dalam keadaan tidak selamat digunakan manakala model baharu Proton atau Proton e.MAS pula mestilah didaftarkan sebelum akhir tahun untuk layak mendapat insentif dagangan lebihan.

“Mana-mana kereta sedan, MPV, van, pacuan empat toda, lori dan bas yang memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas layak untuk menyertai program ini.

“Pemilik kenderaan mesti menyediakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bersama borang JPJK1KD bagi kenderaan baharu mereka sebagai membuktikan kenderaan lama mereka telah secara rasminya dibatalkan daripada pendaftaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Sijil Pemusnahan (COD) yang mereka peroleh daripada Car Medic,” katanya.

Bercakap pada majlis itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kementerian itu menyokong inisiatif Program Xchange dan menggalakkan lebih ramai pengeluar kenderaan (OEM) untuk mencontohi langkah sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berharap inisiatif ini akan mendorong orang ramai untuk menukar kereta lama dengan kereta baharu yang mempunyai ciri keselamatan canggih dan mengurangkan risiko keselamatan di jalan raya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan