EKONOMI

HORIBA GROUP SASAR BUKA KEMUDAHAN PENGELUARAN PERTAMA DI KEDAH MENJELANG 2026

15/05/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pengeluar dari Jepun, HORIBA Group menyasarkan untuk membuka kemudahan pembuatan kawalan aliran jisim (MFC) di Kedah, sekali gus menjadikannya pangkalan pengeluaran produk ituyang pertama di Malaysia.

Dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2026, kemudahan itu merupakan lonjakan besar  daripada pejabat wakil yang beroperasi ketika ini di Pulau Pinang, mengubah kehadiran syarikat itu di Malaysia daripada sekadar hab pembangunan perniagaan kepada operasi pembuatan berskala penuh.

Dalam satu kenyataan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan HORIBA, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan HORIBA untuk membuka pangkalan pengeluarannya di Kedah menandakan detik perubahan sektor pembuatan berteknologi tinggi Malaysia.

"Perkembangan ini mengesahkan kemunculan Malaysia sebagai hab teknologi global dan mengukuhkan lagi status rantau utara sebagai pemacu utama dalam pembuatan termaju.

“MIDA komited sepenuhnya untuk memastikan kejayaan HORIBA menerusi sokongan infrastruktur bertaraf dunia serta insentif yang kompetitif. Pengembangan syarikat ini bukan sekadar pelaburan, tetapi menjadi pemangkin kepada inovasi, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang akan merubah landskap perindustrian negara,” katanya.

Presiden HORIBA Malaysia Yohei Kawamura berkata kerajaan telah mengenal pasti industri semikonduktor sebagai bidang pertumbuhan utama dan sedang giat membangunkan ekosistem yang kukuh, merangka dasar industri, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan, serta memperkasa bakat tempatan.

"Dasar sedemikian merangsang pelaburan oleh syarikat tempatan dan asing, terutamanya di Pulau Pinang dan Kedah, yang kini menjadi tumpuan syarikat semikonduktor utama dari Eropah, Amerika Syarikat dan Asia.

“Dalam pasaran semikonduktor yang dijangka terus berkembang dalam jangka sederhana hingga panjang, HORIBA Group akan mempercepatkan pengukuhan struktur rantaian bekalan global untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pembekal utama MFC serta memenuhi keperluan masa depan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kemudahan baharu berkenaan akan menempatkan makmal berteknologi tinggi di Malaysia, Analytical Solution Plaza.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif utama dalam bidang bahan termaju dan semikonduktor, yang menjadi tumpuan dalam Pelan Pengurusan Jangka Sederhana-Panjang HORIBA (MLMAP2028), syarikat akan menawarkan pelbagai penyelesaian merangkumi analisis bahan termaju, pemantauan proses semikonduktor dan perkhidmatan pengukuran alam sekitar.

Inisiatif ini sejajar dengan MLMAP2028 dan menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam industri berteknologi tinggi.

Menerusi pangkalan baharu ini, HORIBA Group menyasarkan untuk terus meningkatkan pegangan pasarannya dalam segmen MFC yang kini mencecah sekitar 60 peratus termasuk di Malaysia dan Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan