MELAKA, 15 Mei (Bernama) -- Strategi promosi pelancongan kerajaan negeri dengan melantik bintang filem terkemuka China Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri itu khususnya di China.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata antara kejayaan diperoleh menerusi strategi itu ialah pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori jumlah paparan digital tertinggi pelancongan Malaysia di platform WeChat dengan carian 'Melaka' dan 'Fan Bingbing'.
"Nama Melaka dan Fan Bingbing telah mencatat lebih satu bilion carian digabungkan di platform WeChat China, mengatasi capaian acara mega seperti Shanghai International Film Festival dan Weibo Movie Awards.
"Kejayaan berkenaan juga terbukti dengan peningkatan jumlah pelancong China ke Melaka iaitu sebanyak 664,687 orang pada tahun lepas berbanding 204,818 pada 2023," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rekod Baharu Kerajaan Negeri Melaka daripada MBOR yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Fan Bingbing yang mempunyai lebih 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China mirip X) dan 4.1 juta pengikut Instagram, lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.
Pada majlis itu, Ab Rauf menerima pengiktirafan daripada MBOR bagi kategori jumlah paparan digital tertinggi pelancongan Malaysia di platform WeChat yang disampaikan Pegawai MBOR Edwin Yeoh Tiong Chin.
Ab Rauf berkata kejayaan itu bukan sekadar angka tetapi juga satu anjakan imej yang meletakkan Melaka dalam peta pelancongan global sebagai sebuah destinasi yang dikenali, dikunjungi dan dihormati.
"Kerajaan negeri akan terus melipatgandakan usaha mempromosi sektor pelancongan Melaka secara berskala global dengan meneroka kerjasama strategik baharu, memanfaatkan platform digital dan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai antara destinasi pelancongan paling berpengaruh di rantau ini.
"Kita juga yakin pemilihan Melaka sebagai tuan rumah pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 akan turut memberi impak besar kepada sektor pelancongan negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa penambahbaikan dan kejutan akan dilakukan kerajaan negeri selaras dengan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0 yang dijangka pada akhir tahun ini.
Usaha berkenaan katanya bagi memastikan jumlah kedatangan pelancong ke Melaka terus meningkat termasuk dari China, Hong Kong dan Taiwan.
-- BERNAMA