PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Kajian semakan semula Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang bertujuan memperkukuh tadbir urus industri pelancongan negara, dijangka selesai suku pertama 2026.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan kajian semakan semula Akta 482 telah dimulakan pada Ogos 2023 melalui pelaksanaan 54 sesi libat urus yang melibatkan hampir 1,000 pemegang taruh termasuk wakil-wakil kementerian, agensi, badan bukan kerajaan dan pemain industri pelancongan dari dalam dan luar negara.
"Antara cadangan pindaan utama termasuklah penambahbaikan aspek pelesenan, perlindungan insurans, pemantapan penguatkuasaan, pendaftaran platform digital serta penubuhan Tribunal Pelancongan.
"MOTAC yakin pindaan Akta 482 akan melonjakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang mampan, selamat, kaya budaya dan berdaya saing, sejajar prinsip inklusif dan reformasi yang digariskan di bawah gagasan Malaysia MADANI, khususnya sempena pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia 2026," menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut MOTAC hasil kajian berhubung cadangan pindaan Akta 482 telah dibentangkan pada Seminar Kebangsaan bagi Kajian Keberkesanan Kawal Selia dalam Mendepani Isu dan Cabaran Industri Pelancongan di Malaysia yang diadakan di sini hari ini.
"Sesi itu turut bertujuan mendapatkan maklum balas bagi memastikan proses semakan semula akta berkenaan dilaksanakan secara inklusif dan mengambil kira pandangan semua pihak," menurut kenyataan itu.
Seminar berkenaan dihadiri seramai 102 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan pemain industri pelancongan.
-- BERNAMA